Setelah anda mengenal pasti keperluan dan kehendak jangka pendek dan jangka panjang anda, sila lihat lembaran kerja anda dan kaji bagaimana keadaan belanjawan anda setelah anda memotong perbelanjaan yang tidak perlu dan memasukkan perbelanjaan yang perlu.
Contohnya, anda mungkin tak mahu lagi memandu kereta ke tempat kerja, jadi anda boleh kurangkan kos petrol dalam lembaran kerja anda. Mungkin anda ingin langsaikan semua hutang kad kredit anda terlebih dahulu, jadi anda peruntukkan jumlah yang tinggi dalam lembaran kerja anda untuk tujuan itu. Pertimbangkan semula langganan anda seperti Netflix dan Spotify – adakah anda benar-benar perlukannya? Mungkin anda boleh cuba tukar kepada sebuah pelan keluarga dan kongsi fi langganan itu dengan orang lain supaya kos bagi item ini dapat dikurangkan.
Di sini ada beberapa panduan untuk membantu anda dalam proses ini:
-
Utamakan membayar hutang kad kredit dahulu
Kita tak perlu bercakap lagi tentang simpanan atau bayaran bil kalau anda masih ada hutang Kad kredit yang belum dibayar. Kadar faedah kad kredit amat tinggi, dan anda mungkin terpaksa bayar 1/3 ke 3 kali ganda kos sesuatu jika anda membiarkannya tak berbayar untuk beberapa tahun. Cubalah langsaikan hutang ini secepat mungkin!
-
Selesaikan apa-apa hutang tertunggak daripada pinjaman lain
Membuat bayaran untuk semua komitmen yang lain akan membantu anda mengekalkan cskor kredit, yang baik, dan ini akan mengurangkan kos faedah anda. Langsaikan semua pinjaman ini beransur-ansur supaya anda akan ada duit lebih untuk disimpan setiap bulan.
-
Sasarkan untuk mempunyai simpanan kecemasan sejumlah 6 bulan gaji anda
Jangan lupa bahawa tiada apa yang pasti dalam hidup ini. Pada bila-bila masa saja, anda boleh kehilangan pekerjaan, jatuh sakit dan tidak mampu bekerja. Mungkin juga terdapat keperluan yang timbul secara tiba-tiba untuk membaiki rumah atau kereta anda.
Cara terbaik untuk mengumpul satu dana kecemasan ialah dengan membuka satu akaun bank berasingan dan memindahkan sebahagian daripada gaji bulanan anda ke dalam akaun tersebut secara automatik sebagai simpanan kecemasan anda. Anda tak perlu letakkan jumlah yang banyak di sini, tapi anda patut asingkan akaun ini daripada wang simpanan anda yang lain, dan jangan sentuh duit ini!
Kita akan berasa sangat lega dan selamat dengan adanya dana kecemasan yang semakin bertambah jumlahnya.
-
Menyimpanlah sebanyak yang mungkin untuk persaraan anda and pastikan anda melabur dalam produk yang selamat dan kalis inflasi
Anda disarankan membuat caruman sukarela ke dalam KWSP ika dana anda sudah cukup untuk menampung perbelanjaan kecemasan dan keperluan jangka pendek yang lain. Kenapa? Sebab KWSP menjamin pulangan minimum dan pelaburannya dipelbagaikan. Pulangannya yang memuaskan dapat membantu memastikan bahawa inflasi tidak akan mengurangkan nilai wang anda dalam jangka panjang!
Jika anda ingin melabur dalam produk pelaburan yang lain, berurusanlah dengan orang yang anda percayai, dan sentiasa buat kajian anda sendiri. Untuk pelajari lebih lanjut tentang pelaburan, klik di sini.
-
Hadkan 10% daripada gaji anda untuk kehendak dan kemahuan anda
Untuk membantu anda, tetapkan satu had maksimum untuk perbelanjaan yang bukan merupakan keperluan. Dengan cara ini, anda masih dapat berbelanja untuk keseronokan diri tapi masih dapat berbangga kerana anda berjaya mengawal perbelanjaan anda.
-
Pastikan anda ada insurans nyawa jika anda mempunyai tanggungan
Anda tak perlukan insurans nyawa jika anda tak ada tanggungan yang bergantung kepada pendapatan anda. Jika apa-apa berlaku kepada anda, polisi insurans itu akan memastikan bahawa keluarga anda dilindungi dengan suatu jumlah pembayaran yang akan membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup setelah ketiadaan anda.