Bila saya patut mula menyimpan?
Anda patut mula menyimpan seawal yang boleh, supaya anda ada simpanan yang cukup bila tiba masa anda perlukan wang tersebut. Selain itu, kalau anda menyimpan wang anda dalam satu akaun deposit tetap, KWSP atau Amanah Saham Nasional, anda akan dapat menikmati bayaran faedah yang lebih jika mula menyimpan lebih awal!
Mahu faham dengan lebih mendalam? Baca di sini
Macam mana nak mula menyimpan?
Langkah 1 – Tetapkan beberapa matlamat simpanan yang asas
Utamakan simpanan untuk peristiwa kehidupan yang besar seperti persaraan, pendidikan, perumahan dan juga kecemasan. Selepas itu, barulah anda boleh tetapkan matlamat simpanan untuk perkara yang lain seperti percutian, membeli alatan baru dan sebagainya.
Tapi ingat, penting untuk anda utamakan persediaan untuk peristiwa besar dalam kehidupan. Ini penting kerana tanpa perancangan yang lebih awal, anda mungkin akan terpaksa banyak berhutang dan ini boleh membawa kepada stres.
Langkah 2 – Ketahui berapa jumlah wang yang anda mampu simpan setiap bulan
Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan bulanan anda. Cuba lihat apa yang boleh anda kurangkan atau buang terus daripada senarai perbelanjaan sebagai usaha untuk menambah simpanan anda setiap bulan. Baca artikel kami tentang perancangan belanjawan untuk membantu anda dalam perkara ini.
Langkah 3 – Asingkan wang untuk disimpan
Sekarang anda dah tahu berapa jumlah wang yang anda boleh simpan setiap bulan. Seterusnya bukalah satu akaun bank baru untuk tujuan simpanan. Aturkan supaya sejumlah wang yang tertentu akan terus dipindahkan ke dalam akaun ini secara automatik setiap bulan..
Untuk simpanan jangka pendek atau kecemasan, anda mungkin hanya perlukan satu akaun simpanan biasa. Untuk simpanan jangka panjang, anda boleh letakkan wang anda dalam satu akaun deposit tetap, KWSP atau Amanah Saham Nasional untuk menjana faedah yang lebih tinggi bagi meningkatkan jumlah simpanan anda. Anda boleh juga pertimbangkan melabur dalam produk lain seperti Dana Dagangan Bursa.
Untuk dapatkan tip tentang tempat yang paling sesuai untuk letakkan simpanan anda, klik di sini.
Langkah 4 – Pantau simpanan anda and lihat bagaimana anda semakin hampir mencapai matlamat simpanan anda!
Setelah anda tetapkan matlamat simpanan anda dan sudah mula mengasingkan sejumlah wang untuk mencapai matlamat tersebut, jangan lupa untuk semak kembali matlamat anda setiap 6 ke 12 bulan kalau-kalau anda perlu buat sedikit pindaan dari masa ke masa apabila situasi kehidupan anda berubah.
Sebagai contoh, kalau anda merancang untuk mendirikan rumahtangga, anda perlu masukkan perbelanjaan perkahwinan dalam matlamat simpanan anda. Atau kalau anda merancang mahukan cahaya mata, anda boleh mula menabung untuk tujuan pendidikan anak anda itu.