Sumber: BURSA ACADEMY | Diterbitkan: Jun 2020
Perkhidmatan dalam talian telah meletakkan dunia di hujung jari anda. Dibanjiri dengan begitu banyak maklumat, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian daripada kita akan terpengaruh dengan begitu cepat dan mudah oleh sumber dan suara yang tidak benar. Tidak hairanlah, sebilangan besar sumber yang paling kerap dan berterusan ialah ‘guru kewangan’ yang menawarkan perkhidmatan untuk menjadikan anda kaya – dan, lebih kerap daripada itu, menjadikan anda serta merta kaya. Namun, apa yang akan diberitahu oleh pakar yang sebenar kepada kita adalah bahawa tidak ada ‘rahsia jalan pintas’ untuk mencapai kekayaan.
Secara ringkasnya, jika kita ingin mendapatkan wang, kita mesti belajar bagaimana untuk mendapatkannya. Dalam pasaran saham, pembelajaran tersebut bermula dengan melakukan kajian tentang pasaran.
Daripada banyak perkara yang perlu dipelajari tentang pasaran, titik permulaan yang baik adalah mengkaji bagaimana prestasi pasaran dalam pelbagai kitaran perniagaan. Di peringkat asas, prestasi pasaran merujuk kepada bagaimana sekuriti berkelakuan di pasaran. Sekuriti, seperti saham dan bon, berkelakuan berbeza pada masa yang berlainan ketika pasaran bergerak melalui tempoh yang berbeza yang membentuk satu kitaran perniagaan.
Kitaran Perniagaan
Kitaran perniagaan adalah kenaikan dan penurunan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), ditambah dengan pemboleh ubah makroekonomi lain seperti kadar pengangguran, inflasi dan kadar faedah. Dalam konteks pasaran ini, kitaran perniagaan juga dikenali sebagai kitaran ekonomi atau kitaran perdagangan.
Satu kitaran perniagaan terdiri daripada empat peringkat – pemulihan, kemuncak, kemelesetan dan lurah – yang berlangsung dan berlangsung semula dalam satu kitaran. Tempoh kitaran mungkin antara dua hingga dua belas tahun walaupun kebanyakan kitaran secara purata sekitar enam tahun.
Bagi pelabur, mengenal pasti apakah peringkat kitaran perniagaan bagi pasaran semasa, memerlukan analisis di pelbagai elemen data ekonomi. Salah satu elemen data tersebut adalah statistik pasaran buruh.
Sebagai contoh, menurut laporan berita baru-baru ini yang memetik pernyataan penolong gabenor Bank Negara Malaysia En. Marzunisham Omar, pasaran buruh dijangka akan lemah. Kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 4%, berbanding 3.7% semasa krisis kewangan global.
Jadi, bagaimanakah pengetahuan kita tentang elemen data tersebut boleh membantu kita?
Adakah maklumat tentang trend tenaga kerja menunjukkan kedudukan pasaran semasa dalam kitaran perniagaan?
Mari kita selidiki.
Jadual di bawah adalah gambaran keseluruhan keadaan dalam empat peringkat.
Pemulihan
Peringkat pemulihan adalah masa untuk pengembangan juga. Perniagaan dilihat berkembang dan keuntungan yang dikecapi juga baik. Kadar pengangguran telah menurun dan, apabila semakin ramai orang mendapat pekerjaan, perbelanjaan pengguna juga meningkat. Pasaran kredit yang sedang pulih menambah wang dan kecairan ke pasaran yang telah berjaya keluar dari fasa terburuk.
Prospek ekonomi secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dan pasaran saham kini berkembang pesat. Sektor atau industri yang perlu diperhatikan adalah sektor pengguna dan kewangan. Ini juga merupakan masa yang tepat untuk memeriksa harga bon kerana, pada umumnya, kadar faedahnya adalah rendah.
Ketika pasaran mula bergerak dari tahap pemulihan ke tahap kemuncak dan kadar faedah turun ke tahap terendah, pelabur juga harus secara aktif meneroka segmen lain seperti perindustrian, teknologi maklumat dan bahan-bahan asas.
Kemuncak
Pada peringkat kemuncak, dengan ekonomi bergerak pantas ke hadapan dan beroperasi dengan kapasiti penuh (atau hampir penuh), inflasi meningkat dengan cepat akibat kekurangan tenaga kerja atau barangan.
Ketika persaingan di antara perniagaan semakin sengit, keuntungan mula menurun. Kadar faedah mula meningkat dan pasaran saham mula lemah. Sebelum pasaran jatuh ke peringkat kemelesetan, pelabur perlu mempertimbangkan sektor-sektor seperti penjagaan kesihatan, utiliti, tenaga dan keperluan pengguna.
Kemelesetan
Pada peringkat kemelesetan, aktiviti ekonomi seperti membeli, menjual, pengeluaran dan pekerjaan menjadi perlahan. Pengangguran mula meningkat dan perbelanjaan pengguna menurun.
Prospek keseluruhan mula suram dan pasaran saham berprestasi lemah. Kadar faedah memuncak. Pada masa ini, sektor yang terbaik untuk diambil perhatian adalah sama seperti di peringkat kemuncak.
Lurah
Peringkat lurah memberikan kesan yang sangat teruk terhadap ekonomi dan prospek perniagaan secara keseluruhan telah berubah dari suram menjadi sangat pesimis.
Skor pengangguran pada peringkat ini berada pada tahap tertinggi di antara semua peringkat. Dengan kurangnya mereka yang mempunyai pekerjaan, perbelanjaan pengguna jatuh ke tahap terendah, sehingga menyebabkan kejatuhan dalam inflasi.
Lurah adalah peringkat yang terjadi sebelum berlakunya peringkat pemulihan. Petunjuk yang biasa berlaku merangkumi pasaran saham yang lemah, perniagaan yang sukar, penjualan yang menurun dan ketersediaan kredit yang sangat rendah.
Kitaran Perniagaan Malaysia
Graf di bawah, dari Jabatan Perangkaan Malaysia, menjangkau lebih kurang 29 tahun dari permulaan tahun 1991 hingga awal tahun 2020.
Gambaran keseluruhan grafik menunjukkan bahawa Malaysia telah melalui tiga kitaran perniagaan (diserlahkan dalam warna kelabu) untuk jangka masa yang berbeza-beza.
Peringkat kemelesetan yang pertama adalah pada tahun 1997, menandakan Krisis Kewangan Asia yang memberikan kesan yang teruk terhadap kebanyakan ekonomi di Asia Timur dan Asia Tenggara.
Kemelesetan kedua yang menjejaskan Malaysia adalah pada tahun 2001. Ini disebabkan oleh kelembapan ekonomi AS dan penurunan permintaan untuk barangan elektronik di peringkat global, sehingga secara signifikan mempengaruhi sektor pembuatan dan industri elektronik di Malaysia.
Kemelesetan terakhir adalah pada tahun 2008 apabila Kemelesetan Terbesar, dicetuskan oleh krisis gadai janji subprima AS pada tahun 2006, yang telah mempengaruhi semua negara di seluruh dunia. Malaysia bernasib baik kerana sistem perbankan Malaysia telah membina asas yang kukuh dan bersedia untuk menghadapi dan menangani krisis kewangan global yang tercetus. Walau bagaimanapun, kesan daripada kemelesetan sangat dirasakan di sektor yang berkaitan dengan perdagangan luar.
Di Manakah Kita Sekarang?
Apa yang hilang dari graf, sudah tentu adalah kesan koronavirus yang masih mendalam yang kini menjangkiti manusia, menjejaskan mata pencarian dan ekonomi di seluruh dunia. Ramai penganalisis kini berkongsi pendapat bahawa Malaysia sudah berada dalam kemelesetan atau sedang menuju ke arahnya.
Dr Anthony Dass, Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Kumpulan Ambank, menyatakan bahawa sementara krisis 2008 muncul dari sektor kewangan, keadaan semasa adalah akibat daripada peristiwa di luar sektor kewangan. Walaupun begitu, katanya, penularan wabak virus yang mengakibatkan penutupan sektor-sektor seperti pembuatan, pelancongan, pembinaan, perlombongan dan pertanian dan menyebabkan kemelesetan bukan hanya di Malaysia tetapi juga ekonomi global.
Kajian baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia memetik pandangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa kemelesetan ini sekurang-kurangnya akan menjadi seburuk krisis kewangan global terakhir tetapi menjangkakan akan berlaku pemulihan pada tahun 2021. Ia juga melaporkan bahawa prospek bagi ekonomi yang sedang membangun semakin merosot ketika pandemik ini kian berleluasa.
Bank Dunia telah menyemak semula unjuran KDNK Malaysia daripada 4.5% kepada 0.1%. Penganalisis dari RHB Bank dan OCBC Bank juga memberi amaran kemelesetan tahun ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Malaysia yang telah dilanjutkan, menjadikan ekonomi terus terhenti. Dalam perjalanan menuju ke destinasi yang kita lakukan sekarang, kita hendaklah berhati-hati dan bersedia untuk menghadapi situasi yang terburuk.
Apa Yang Perlu Kita Lakukan?
Melakukan penyelidikan terhadap pasaran boleh menjadi satu pengalaman yang menakutkan. Tetapi jika kita ingin mendapatkan pulangan yang baik daripada pasaran, adalah perlu untuk membuat kajian dengan meneliti data sejarah dan peristiwa dan dengan memerhatikan turun naik pasaran.
Sebagai seorang pelabur, adalah penting untuk kita memahami dengan jelas di mana kita meletakkan wang kita. Untuk mula memahami bagaimana anda dapat memperoleh faedah dengan mempelajari pasaran, mulakan dengan apa yang anda miliki dalam portfolio pelaburan anda. Sekiranya anda tidak tahu apa dan bagaimana portfolio pelaburan anda, ambil semua penyata pelaburan anda yang lalu, atau hubungi broker anda. Kemudian senaraikan aset yang ada, selidik pasaran atau indeks yang telah anda laburkan dan catat bagaimana prestasi mereka pada masa lalu. Walau apa pun, adalah disarankan untuk berbincang dengan broker anda dan dapatkan pandangan daripada mereka. Mereka juga mungkin mengarahkan anda ke platform yang tepat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pasaran.
Setelah anda meneliti portfolio pelaburan anda, periksa aset yang telah diperuntukkan dan lihat adakah terdapat sebarang keuntungan atau kerugian untuk setiap aset. Periksa sama ada portfolio anda memenuhi matlamat kewangan anda. Sekiranya tidak, buat perkiraan tentang jurang dan anggarkan jika anda dapat memenuhi semula ‘jurang’ tersebut dalam jangka masa yang anda tetapkan.
Seperti yang telah anda baca, sektor yang berbeza bertindak balas secara berbeza di setiap peringkat. Adalah penting untuk kerap mengkaji semula portfolio pelaburan anda untuk memastikan bahawa anda memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada. Seperti sektor yang berbeza, kelas aset yang berbeza juga akan menunjukkan prestasi yang berbeza pada setiap peringkat. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran.
Mendapatkan pelbagai berita pasaran adalah langkah pertama yang baik untuk terlibat dalam dunia analisis. Cari laman web dan sumber yang boleh dipercayai untuk memulakan perjalanan pembelajaran anda.
Anda juga boleh menghadiri bual bicara dan acara (webinar dalam talian pada masa kawalan pergerakan ini) dan anda akan terkejut apabila mengetahui bahawa ianya tidaklah begitu sukar untuk memahami pasaran. Namun begitu, ia memerlukan usaha yang keras!
Platform dalam talian seperti Bank Negara Malaysia atau Bursa Malaysia adalah sumber yang boleh dipercayai untuk memperoleh pengetahuan tentang pasaran. Secara keseluruhan, sila bertenang dan sentiasa mempercayai prosesnya. Sangat penting untuk berhenti sejenak dan cuba untuk melihat gambaran yang lebih besar. Jangan membazirkan wang anda secara membuta tuli. Belajar bagaimana untuk membaca pasaran pada setiap peringkat dalam kitaran perniagaan boleh membantu dalam merealisasikan kejayaan pelaburan anda.
AMBIL KUIZ
Tag: PRESTASI PASARAN, KITARAN PERNIAGAAN, PENILAIAN PASARAN, KITARAN SAHAM