Para pelabur runcit tidak diketepikan dalam dunia yang semakin menitikberatkan pertimbangan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dalam bidang pelaburan. Mereka juga boleh mengambil bahagian secara aktif dalam pergerakan ESG, menyelaraskan pilihan pelaburan dengan nilai-nilai mereka dan menyumbang kepada landskap kewangan yang lebih lestari dan bertanggungjawab.
Komitmen Malaysia yang tidak berbelah bagi terhadap prinsip-prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang didorong oleh inisiatif kerajaan, sokongan institusi dan trend global, telah mewujudkan persekitaran yang ideal untuk pelaburan yang lestari. Sokongan awal daripada dana-dana utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional telah meletakkan asas bagi ekosistem ESG yang kukuh. Badan kawal selia seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti telah menggalakkan penggunaan ESG melalui penerbitan nota panduan dan taksonomi, memperluaskan pilihan pelaburan dan kebolehcapaian. Perkembangan ini telah meningkatkan kesedaran tentang ESG. Hari ini, kita akan meneroka maksud perubahan ini untuk para pelabur dan cara pelabur runcit boleh terlibat secara aktif dalam landskap ESG yang sedang berkembang.
Artikel ini membahagikan penerangan berkenaan dengan peranan pelabur runcit dalam penyertaan aktif inisiatif ESG kepada tiga aspek utama:
- Melabur dalam Syarikat Fokus ESG: Pelabur runcit boleh membuat sumbangan yang besar dengan memilih untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang mengutamakan prinsip-prinsip ESG. Dengan memperuntukkan dana mereka kepada syarikat sedemikian, mereka memainkan peranan penting dalam menyokong amalan lestari, tadbir urus yang bertanggungjawab dan impak sosial yang positif.
- Menyuarakan sebagai Pemegang Saham: Pelabur runcit boleh memanfaatkan kedudukan mereka sebagai pemegang saham untuk menyokong dasar dan amalan berkaitan ESG dalam syarikat tempat mereka melabur. Mereka boleh mengambil bahagian dalam mesyuarat pemegang saham, mengundi resolusi ESG dan terlibat dalam dialog dengan pihak pengurusan syarikat untuk menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab.
- Sokongan Bukan Kewangan untuk Syarikat Berkaitan ESG: Sokongan tersebut meliputi inisiatif ESG, meningkatkan kesedaran tentang amalan perniagaan yang bertanggungjawab, dan mengambil bahagian dalam usaha yang menggalakkan kelestarian, seperti aktiviti sukarela untuk tujuan alam sekitar atau melibatkan diri dalam program jangkauan komuniti.
Mengenal pasti isu-isu ESG yang sejajar dengan nilai-nilai pelabur
ESG merangkumi pelbagai isu, termasuk perubahan iklim, kepelbagaian jantina, hak asasi manusia dan amalan perniagaan yang beretika. Pelabur perlulah menilai keutamaan mereka sebelum memulakan pelaburan.
Sebagai contoh, jika kebimbangan utama para pelabur adalah memerangi isu perubahan iklim yang mendesak, mereka boleh menyokong inisiatif tenaga boleh dibaharui, usaha pemuliharaan dan penggunaan amalan lestari. Mereka yang meminati keadilan sosial boleh menumpukan perhatian kepada menangani ketidaksamaan kaum dengan membiayai inisiatif-inisiatif yang menggalakkan kepelbagaian dan kesaksamaan, sekali gus berusaha untuk merungkai halangan sistemik.
Dengan mengenal pasti isu ESG yang paling penting, menyelaraskan isu dengan nilai peribadi mereka kemudian memperuntukkan masa dan sumber kewangan mereka kepada perkara tersebut, pelabur runcit boleh menguatkan pengaruh positif mereka dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan komuniti global yang lebih adil, lebih lestari dan prihatin.
Melabur dalam Syarikat yang Tertumpu pada ESG
Melabur dalam syarikat tertumpu ESG membolehkan pelabur mengutamakan nilai mereka dan menunjukkan sokongan terhadap inisiatif yang bertanggungjawab. Komitmen kewangan ini memberikan isyarat yang jelas kepada dunia perniagaan bahawa terdapat permintaan untuk amalan mesra alam dan kesedaran sosial.
Pelabur boleh memilih untuk menyelidik dan melabur secara bebas dan secara langsung dalam syarikat atau dana yang sepadan dengan kriteria ESG mereka. Pendekatan langsung ini bermaksud menyelaraskan penanda aras ESG yang khusus, menyelami dengan mendalam amalan syarikat, dan memilih pelaburan yang sejajar dengan kepercayaan mereka. Matlamatnya ialah portfolio yang diurus secara aktif yang mencerminkan keutamaan ESG.
Satu kaedah yang diperkemas untuk pelabur runcit adalah dengan menggunakan penarafan ESG daripada firma yang dipercayai seperti MSCI, Sustainalytics dan Bloomberg. Organisasi ini menilai syarikat pada metrik ESG yang berbeza, memudahkan proses membuat keputusan dalam pelaburan.
Bagi peminat ETF yang berpangkalan di Malaysia, terdapat pilihan seperti Dana Sukuk ESG BIMB, Dana Milenium Lestari e-Islam Awam dan Dana Ekuiti-I Lestari Global Maybank. Tawaran ini menerapkan amalan yang sejajar dengan prinsip-prinsip ESG dan memenuhi pilihan pelaburan yang pelbagai. Selain itu, banyak ETF dan dana bersama yang berteraskan ESG di peringkat tempatan dan antarabangsa mempunyai syarikat-syarikat yang telah melalui proses saringan terhadap pematuhan ESG terlebih dahulu. Pelabur hendaklah mencari dana yang bukan sahaja selaras dengan nilai mereka tetapi juga bersesuaian dengan profil risiko mereka.
Menyuarakan sebagai Pemegang Saham
Selain melabur secara langsung, pelabur runcit juga boleh menyumbangkan suara dan masa mereka untuk menyokong prinsip-prinsip ESG. Pelbagai bentuk pelibatan boleh dilakukan, dari peringkat asas sehinggalah ke ruang mesyuarat lembaga pengarah.
Pelibatan pelabur dengan syarikat melalui penyertaan dalam mesyuarat pemegang saham ialah cara yang berkesan untuk mereka menyuarakan pandangan. Melalui perjumpaan atau dengan membuang undi proksi, pelabur boleh menyatakan kebimbangan mereka atau memperjuangkan inisiatif ESG tertentu.
Sebagai contoh, mereka mungkin menggalakkan syarikat yang telah mereka sandarkan untuk beralih kepada pembungkusan mesra alam atau menggunakan strategi untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka. Begitu juga, jika pelabur berminat untuk mengukuhkan kepelbagaian jantina, mereka boleh memanfaatkan pengaruh mereka untuk menyokong perwakilan wanita dalam menjawat peranan yang lebih penting dalam lembaga pengarah. Selain daripada perwakilan lembaga, mereka juga boleh terlibat dalam program bimbingan yang bertujuan untuk menaikkan dan membimbing pemimpin-pemimpin wanita yang baharu. Pelibatan secara langsung ini boleh memajukan lagi kesaksamaan jantina dalam landskap korporat. Aktivisme pemegang saham boleh membawa kepada perubahan positif dalam tingkah laku korporat.
Sokongan Bukan Kewangan untuk Syarikat Berkaitan ESG
Selain daripada pelaburan kewangan, pelabur runcit juga boleh melibatkan diri dengan usaha ESG melalui sokongan yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini dalam cara bukan kewangan. Mereka boleh menyebarkan kesedaran tentang prinsip-prinsip ESG melalui media sosial, blog, forum atau kumpulan komuniti, menggalakkan orang lain untuk mempertimbangkan kesan alam sekitar dan sosial.
Tambahan pula, pelabur runcit boleh menyumbang secara aktif kepada misi syarikat berkaitan ESG dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela atau mengambil bahagian dalam program jangkauan komuniti yang selaras dengan nilai bersama mereka. Banyak organisasi yang berfokuskan ESG menawarkan peluang kepada individu untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuklah sebagai sukarelawan untuk projek pembersihan alam sekitar, menyokong inisiatif komuniti setempat, atau mengambil bahagian dalam program bimbingan yang menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian sosial.
Dengan meluangkan masa dan usaha mereka secara sukarela dalam inisiatif ini, pelabur meluaskan jangkauan dan impak syarikat berkaitan ESG yang mereka sokong, justeru memupuk hubungan yang lebih mendalam.
Pelabur runcit mempunyai kuasa yang besar untuk menyokong usaha ESG baik melalui cara mereka memilih untuk memperuntukkan modal mereka dan cara mereka memilih untuk terlibat dengan syarikat dan komuniti. Sokongan kewangan mereka membantu syarikat yang memberi tumpuan kepada ESG untuk berkembang dan maju, manakala advokasi dan kerja sukarelawan mereka dapat memperkuatkan kesan inisiatif ESG syarikat-syarikat ini dan menginspirasi perubahan yang lebih luas dalam tingkah laku korporat dan norma-norma masyarakat.
* Sesetengah produk dan perkhidmatan kewangan mungkin tidak diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Sila lakukan penyelidikan dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.
RUJUKAN
1. P. (n.d.). ESG Deals Creation and Impact Investing in Malaysia. PwC.
2. Malaysia to Launch ESG Framework in 2023. (n.d.). Lexology.
3. Budget 2024: The future of ESG in Malaysia. (2023, October 31). The Star.
4. Things That You Should Know About ESG In Malaysia - Smart Investor Malaysia. (2022, October 31). Smart Investor
5. Looking Holistically at ESG and Realistically at How Malaysia can Improve Implementation - Strateq Group. (2023, June 14). Strateq Group - Innovation Driven Solutions.
6. Push from government-led ESG initiatives. (2022, October 11). The Star.