Sumber: BURSA MALAYSIA | Diterbitkan: Februari 2024
Terdapat arus kebangkitan yang kuat dalam landskap kewangan hari ini: peningkatan gelombang pelaburan terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Anjakan paradigma ini melangkaui metrik pasaran tradisional, memperjuangkan masa depan yang membolehkan setiap dasar pelaburan dan korporat dengan penerapan prinsip ESG mengukir laluan ke arah dunia yang lebih adil dan lestari. Tidak kira pedagang berpengalaman yang sedang menganalisis saham patuh syariah mahupun seorang pendatang baharu dalam pasaran, ESG yang digunapakai adalah lebih daripada sekadar satu keputusan kewangan—namun, ia merupakan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada pergerakan global yang menitikberatkan impak sama seperti pendapatan.
Memahami Pelaburan ESG
Pelaburan ESG telah muncul sebagai satu mercu tanda, membimbing para pelabur yang baharu dan veteran ke arah masa depan yang menjana keuntungan selaras dengan prinsip. Pada terasnya, ESG bermaksud Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus — tiga teras yang membentuk semula landskap pelaburan, menumpukan pada kelestarian dan amalan yang beretika.
Pertimbangan Alam Sekitar: Di sini, pelaburan dinilai dengan teliti berdasarkan kesan ekologinya. Hal ini termasuklah cara syarikat mengurus jejak karbon, sisa, penggunaan sumber dan kesan keseluruhan mereka terhadap planet ini. Ia mengutamakan perniagaan yang mengelakkan bahaya dan secara aktif memupuk pengawasan alam sekitar.
Tanggungjawab Sosial: Aspek ini mengkaji cara syarikat berinteraksi dengan para pekerja, pembekal, pelanggan dan komuniti mereka. Ia berkaitan dengan pelaburan dalam organisasi yang memperjuangkan amalan buruh yang adil, kepelbagaian, keterangkuman dan kesan positif terhadap masyarakat. Matlamatnya adalah untuk menyokong perniagaan yang memberi manfaat kepada masyarakat kerana ia menguntungkan.
Faktor Tadbir Urus: Tadbir urus merujuk kepada sistem dalaman, kawalan dan prosedur yang digunakan oleh syarikat untuk mentadbir diri mereka sendiri, membuat keputusan yang berkesan, mematuhi undang-undang dan memenuhi keperluan pihak berkepentingan luar. Rangka kerja tadbir urus yang mantap adalah penting untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kesihatan korporat jangka panjang.
Ketiga-tiga teras ini penting untuk difahami oleh pelabur pemula. ESG bukan hanya tentang mengelakkan risiko atau mematuhi piawaian moral; ia merupakan pendekatan komprehensif yang menggabungkan pelaburan beretika dengan prestasi kewangan yang kukuh. Ini adalah satu cara untuk memastikan bahawa pelaburan anda sejajar dengan nilai yang anda tawarkan dan menyumbang kepada dunia yang lebih lestari dan saksama. Dengan pasaran terus berkembang, pelaburan ESG bukan sahaja menjadi satu bidang tetapi satu lensa yang diperlukan untuk mempertimbangkan semua pelaburan.
Peranan Syarikat dalam ESG
Apabila kompas dalam membuat keputusan pelaburan berubah ke arah masa depan yang lebih bertanggungjawab dan lestari, peranan syarikat dalam mengambil kira faktor-faktor ESG menjadi penting. Penyepaduan ESG dalam strategi korporat bukan lagi satu pilihan malah ia merupakan satu keperluan, didorong oleh banyak sebab yang menarik selain daripada sekadar pematuhan semata-mata.
- Pengurusan Risiko: Komponen utama dalam penyepaduan ESG adalah keupayaan untuk mengurus dan mengurangkan risiko. Risiko alam sekitar seperti perubahan iklim, kekurangan sumber dan risiko sosial, seperti pertikaian buruh atau isu-isu hak asasi manusia boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kestabilan kewangan syarikat dan persepsi awam. Dengan menangani isu-isu ESG ini secara proaktif, pihak syarikat boleh melindungi diri mereka daripada kemungkinan dikenakan denda kawal selia, reputasi yang terjejas dan gangguan operasi.
- Pewujudan Nilai Jangka Panjang: Selain daripada pengurangan risiko, amalan ESG memainkan peranan penting dalam memupuk nilai jangka panjang. Syarikat-syarikat yang mempunyai rangka kerja ESG yang mantap sering melihat faedah seperti penjimatan kos daripada kecekapan tenaga, kesetiaan jenama yang dipertingkatkan dan peningkatan peluang pasaran dalam teknologi hijau. Struktur tadbir urus yang bersesuaian memastikan keputusan yang baik dibuat dan terdapat daya tahan terhadapkontroversi, yang menyokong pertumbuhan lestari dan keberuntungan.
- Pelibatan Pihak Berkepentingan: Penyepaduan ESG juga meningkatkan pelibatan pihak berkepentingan. Syarikat-syarikat yang aktif dalam isu-isu ESG sering melibatkan diri secara lebih dekat dengan pihak berkepentingan, pelanggan dan komuniti mereka. Peglibatan ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk, daripada pelaporan dan dialog yang telus sehinggalah kepada menerima pakai amalan yang mencerminkan nilai dan kebimbangan pihak berkepentingan mereka. Pelibatan sedemikian bukan sahaja membina kepercayaan tetapi juga boleh merangsang inovasi dan kesetiaan.
- Pematuhan Kawal Selia dan Perundangan: Landskap kawal selia berkembang dengan pesat untuk menggabungkan faktor-faktor ESG. Peraturan seperti Peraturan Pendedahan Kewangan Lestari Kesatuan Eropah (SFDR) menuntut ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam cara syarikat menangani kebimbangan ESG. Dengan mematuhi peraturan ini, implikasi undang-undang dapat dielakkan dan syarikat dapat diletakkan sebagai peneraju dalam tanggungjawab korporat.
- Memenuhi Permintaan Pelabur dan Meningkatkan Reputasi: Komuniti pelabur semakin tertarik kepada syarikat-syarikat yang mematuhi ESG. Dalam tinjauan yang dijalankan oleh Morgan Stanley, pelabur dilihat menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap pelaburan yang lestari. Dengan menyepadukan faktor-faktor ESG, syarikat boleh menarik pangkalan pelabur yang lebih luas, meningkatkan reputasi mereka dan berpotensi meningkatkan penilaian pasaran mereka.
Pengaruh dan Penyertaan Pelabur
Trend pasaran dan dasar korporat bukan sahaja membentuk bidang pelaburan ESG; tindakan dan keputusan pelabur individu dan institusi mempengaruhinya dengan begitu ketara. Peranan mereka melangkaui batasan tradisional untung dan rugi, dengan menerokai bidang yang melibatkan etika dan perubahan yang lestari.
Para pelabur semakin menyedari kuasa mereka dalam memacu inisiatif ESG. Apabila mereka memilih untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang selaras dengan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus, mereka bukan sahaja memperuntukkan modal malah menyokong nilai-nilai tersebut. Pengiktirafan ini merupakan pemangkin yang kuat bagi syarikat-syarikat, mendorong mereka untuk mengamalkan amalan yang lebih lestari bagi menarik para pelabur yang mempunyai pemikiran yang sama.
Bagi mereka yang memberikan tumpuan utama pada pelaburan yang beretika, pilihan seperti saham patuh Syariah menawarkan cara untuk menyelaraskan pelaburan dengan kepercayaan moral mereka. Pelaburan ini mengikut garis panduan etika khusus yang serupa dengan rangka kerja ESG yang lebih luas, memastikan keputusan kewangan mereka mencerminkan nilai-nilai peribadi atau institusi.
Pengaruh pelabur-pelabur ini memberi kesan ke arah membentuk tingkah laku korporat. Melalui penglibatan yang aktif, seperti memperjuangkan ketelusan, kelestarian dan tadbir urus yang bertanggungjawab, pelabur dapat mendorong perubahan yang signifikan dalam operasi syarikat. Penglibatan ini meliputi daripada memberi undi pada resolusi pemegang saham berkaitan ESG yang kritikal hingga penglibatan dalam dialog terus dengan kepimpinan syarikat dan mendesak perubahan ketara dalam dasar dan amalan korporat.
Tambahan pula, pilihan pelabur mempunyai kesan yang mendalam terhadap trend pasaran. Peningkatan aliran modal ke dalam pelaburan tertumpu ESG dan saham patuh Syariah menandakan permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan tersebut. Permintaan ini menggalakkan lebih banyak syarikat untuk mempertimbangkan faktor-faktor ESG dalam operasi mereka, yang membawa kepada peralihan pasaran yang lebih luas ke arah amalan yang lestari.
Walau bagaimanapun, pelabur memerlukan akses kepada maklumat yang komprehensif dan boleh dipercayai tentang prestasi ESG syarikat untuk memacu perubahan ini dengan berkesan. Dengan ketelusan dan pelaporan yang lebih baik tentang metrik ESG, pelabur boleh membuat keputusan yang lebih termaklum yang selaras dengan matlamat pelaburan dan standard etika mereka.
Penafian
Sesetengah produk dan perkhidmatan kewangan mungkin tidak diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Sila lakukan penyelidikan dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.
Rujukan
Pérez, L., Hunt, D. V., Samandari, H., Nuttall, R., & Biniek, K. (2022, August 10). Does ESG really matter—and why? McKinsey & Company.
Yasar, K. (2023, April 20). 5 ESG benefits for businesses. WhatIs.com.
Africa, E. (2023, September 26). The Importance of ESG Integration in investment decision-making.
Tag: ESG