Adakah anda sudah bersedia untuk mengubah cara anda melihat pelaburan? Selamat datang ke pelaburan patuh Syariah - pendekatan yang menarik dan penuh beretika yang menyepadukan pelaburan dengan nilai-nilai dan kepercayaan anda. Gabungan unik etika dan kewangan ini merupakan pengubah keadaan, terutamanya di Malaysia yang merupakan peneraju global dalam kewangan Islam.
Tidak kira sama ada anda seorang pemula yang memasuki landskap pelaburan atau seorang pelabur pertengahan yang ingin melakukan kepelbagaian. Kami akan mengkaji konsep-konsep utama, memberikan pandangan yang mendalam serta mendedahkan strategi praktikal untuk membina portfolio yang optimum yang bukan hanya meningkatkan kesihatan kewangan anda, tetapi juga melakukannya dengan cara yang beretika. Hayati perspektif baharu ini dalam pelaburan, yang menyatukan kejayaan dan etika kewangan, malah saling melengkapi dalam laluan anda menuju kemakmuran.
Memulakan Perjalanan Beretika: Pelaburan Patuh Syariah
Pelaburan patuh Syariah merangkumi pendekatan beretika dalam kewangan, yang mematuhi undang-undang Islam (Syariah) untuk membolehkan individu mencapai matlamat kewangan tanpa mengabaikan etika. Kaedah ini mengecualikan pelaburan dalam perniagaan yang berkaitan dengan makanan dan minuman tidak Halal, perjudian atau pinjaman berasaskan faedah, menyelaraskan pertumbuhan kewangan dengan nilai-nilai etika. Pelaburan ini dengan tegas mengelak sebarang unsur Riba (faedah, dianggap usury), Gharar (ketidakpastian spekulatif) dan Haram (aktiviti terlarang), melarang pelaburan dalam bidang-bidang ini. Rangka kerja ini memastikan bahawa amalan kewangan adalah sejajar dengan prinsip-prinsip asas Islam, menggalakkan pertumbuhan kewangan yang beretika.
Selain itu, pengetahuan tentang terma-terma kewangan Islam juga penting, seperti Murabaha, perjanjian pembiayaan berdasarkan kos tambah dan Mudaraba, perjanjian yang melibatkan perkongsian untung. Mekanisme kewangan Islam ini berpegang kepada prinsip-prinsip Syariah, yang selaras dengan tuntutan undang-undang Islam.
Secara kuantitatif, Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan pendekatan dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan penanda aras aktiviti-aktiviti perniagaan, yang menilai sumbangan aktiviti-aktiviti yang tidak patuh Syariah terhadap hasil dan keuntungan syarikat. Penanda aras ini ditetapkan pada 5% untuk aktiviti-aktiviti tertentu seperti perbankan konvensional, perjudian dan minuman keras dan 20% untuk aktiviti-aktiviti lain seperti perdagangan saham dan penyewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah.
Peringkat kedua mempertimbangkan nisbah kewangan, dengan ambang 33% untuk tunai ke atas jumlah aset dan hutang ke atas jumlah aset, dengan menumpukan pada elemen-elemen yang mempunyai faedah dalam penyata kewangan syarikat.
Secara kualitatif, MPS bagi SC mempertimbangkan persepsi orang ramai terhadap aktiviti-aktiviti syarikat dari perspektif Islam. Hal ini termasuklah dengan menilai cara operasi syarikat sejajar dengan ajaran Islam, yang sememangnya penting kerana ia mencerminkan pertimbangan etika dan moral yang menjadi asas kepada pematuhan Syariah.
Selain itu, MPS bagi SC mengeluarkan Senarai Sekuriti Patuh Syariah sebanyak dua kali setahun, iaitu pada bulan Mei dan November. Senarai ini penting bagi para pelabur yang ingin memastikan bahawa portfolio mereka adalah sejajar dengan prinsip-prinsip Syariah, kerana ia mengenal pasti syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria metodologi penapisan yang dianggap patuh Syariah.
Membentuk Senjata Etika Anda: Membina Portfolio Patuh Syariah yang Pelbagai
Dalam arena pelaburan, pepatah yang mengatakan "Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran" adalah sangat tepat. Kepelbagaian ialah strategi penting untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan potensi pulangan dari semasa ke semasa, dan ia juga penting dalam pelaburan patuh Syariah.
Apabila menyentuh tentang kepelbagaian dalam portfolio patuh Syariah, kami merujuk kepada pelbagai kelas aset yang mengikut prinsip kewangan Islam. Kelas-kelas ini termasuk ekuiti patuh Syariah, Sukuk (bon Islam) dan dana Islam.
Mari kita kaji setiap perkara ini secara mendalam:
- Ekuiti Patuh Syariah: Ekuiti ini ialah saham dalam syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan yang selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Perniagaan tersebut mestilah terhindar daripada melakukan aktiviti-aktiviti Haram, seperti berurusan dengan arak, daging khinzir atau pembiayaan berdasarkan faedah. Ia juga hendaklah mematuhi nisbah kewangan khusus yang berkaitan dengan hutang dan sekuriti berfaedah.
- Sukuk (Bon Islam): Tidak seperti bon konvensional yang melibatkan pembayaran faedah (konsep yang dilarang dalam Islam), Sukuk mewakili sijil pemilikan dalam aset ketara, projek, perniagaan atau usaha sama. Pemegang Sukuk pada dasarnya memajakkan aset dan memperoleh keuntungan daripada pendapatan yang dijana oleh aset tersebut, dengan itu mengelakkan Riba (faedah).
- Dana Islam: Dana pelaburan ini diuruskan selaras dengan prinsip-prinsip Syariah. Dana tersebut hanya terdiri daripada pelaburan-pelaburan patuh Syariah. Pengkelasan dana Islam merangkumi dana ekuiti, dana Sukuk, dana pasaran wang dan dana seimbang.
Membina portfolio patuh Syariah yang pelbagai melibatkan pengimbangan kelas-kelas aset tersebut secara strategik. Sebagai contoh, ekuiti mungkin menawarkan pulangan yang tinggi, namun begitu ia mempunyai risiko pelaburan yang tinggi. Sukuk pula mempunyai risiko pelaburan yang rendah, memberikan pulangan yang lebih stabil tetapi lebih rendah. Oleh itu, gabungan aset-aset ini dalam portfolio anda boleh mengimbangi risiko dan pulangan.
Perlu diingat bahawa kepelbagaian juga bermakna menyebarkan pelaburan anda ke seluruh sektor, industri dan wilayah yang berbeza. Kaedah ini bagi memastikan bahawa portfolio anda tidak terlalu terdedah kepada mana-mana peristiwa atau kemelesetan ekonomi.
Pelaburan Patuh Syariah di Malaysia
Malaysia secara konsisten berada di barisan hadapan dalam industri kewangan Islam, memperoleh reputasi global sebagai hab yang kukuh untuk pelaburan patuh Syariah. Reputasi ini berpunca daripada gabungan produk kewangan yang inovatif, pasaran yang dikawal dengan baik serta komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk mengekalkan piawaian tertinggi perundangan Islam.
Salah satu kemajuan penting dalam Pelaburan Patuh Syariah di Bursa Malaysia adalah penambahbaikan Penjualan dan Pembelian Sekuriti Islam - Transaksi Dirundingkan (ISSBNT). Rangka kerja yang diperkenalkan sebagai alternatif patuh Syariah pertama di dunia bagi pinjaman dan peminjaman sekuriti konvensional pada bulan Disember 2017 ini baru-baru ini telah dipertingkatkan dengan menyertakan 'Pilihan Pemulihan Tambahan'. Pilihan ini menawarkan fleksibiliti yang lebih besar dengan membenarkan peserta menarik balik atau memperoleh semula sekuriti jika status Syariah mereka berubah, memastikan semua transaksi kekal patuh terhadap prinsip-prinsip Syariah.
Pasaran patuh Syariah Bursa Malaysia adalah luas, dengan 81.9% daripada jumlah permodalan pasarannya mematuhi prinsip-prinsip Syariah setakat Jun 2023. Ekosistem yang meluas ini merangkumi pelbagai instrumen seperti sukuk, dana dagangan bursa Islam (i-ETF) dan Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT). Secara khususnya, pasaran ini menampilkan lima REIT Islam, yang menyumbang sebanyak 43% daripada permodalan pasaran semua 19 REIT yang disenaraikan di bursa. Selain itu, terdapat enam i-ETF, mewakili 18.9% nilai aset bersih 20 ETF di Bursa Malaysia. Perkembangan ini menyerlahkan kedalaman dan keluasan peluang-peluang pelaburan patuh Syariah yang tersedia, yang memenuhi pelbagai keperluan pelabur dan profil risiko.
Bursa Malaysia-i, sebagai platform bursa sekuriti Islam bersepadu sepenuhnya, memanfaatkan infrastruktur sedia ada Bursa Malaysia dengan penambahbaikan untuk menerapkan ciri-ciri patuh Syariah. Platform ini menyokong rangkaian lengkap perkhidmatan berkaitan bursa, termasuk penyenaraian, perdagangan, pelangsaian, penyelesaian dan perkhidmatan depositori, semuanya dalam rangka kerja patuh Syariah.
Mari kita huraikan beberapa elemen penting dalam landskap pasaran modal Islam di Malaysia:
- Indeks Islam: Indeks Syariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, sebagai contoh, adalah petunjuk utama untuk pelaburan ekuiti Islam. Indeks ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa yang mematuhi prinsip-prinsip Syariah. Ia ditapis dengan teliti oleh MPS SC, bagi memastikan bahawa semua firma yang disertakan lulus semakan pematuhan yang ketat. Bagi para pelabur, menjejaki indeks tersebut boleh memainkan peranan penting dalam membuat keputusan pelaburan yang termaklum.
- Syarikat-syarikat Pengurusan Dana Islam: Malaysia merupakan pusat kepada sejumlah firma pengurusan dana yang menawarkan perkhidmatan pengurusan dana Islam. Syarikat-syarikat ini menawarkan pelbagai jenis dana patuh Syariah, memenuhi matlamat pelaburan dan selera risiko yang pelbagai. Sama ada anda sedang mencari pertumbuhan yang agresif atau pendekatan konservatif yang berorientasikan pendapatan, anda berkemungkinan akan menemui dana Islam yang sesuai untuk ditambah pada portfolio anda.
- Pengawasan Kawal Selia: Pusat kepada ekosistem kewangan Islam di Malaysia ialah SC. Badan kawal selia ini, bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia, menyelia fungsi sektor kewangan Islam, memastikan ketelusan, pematuhan dan perlindungan terhadap pelabur. Usaha berterusan mereka untuk meningkatkan rangka kerja kawal selia menggalakkan integriti dan keyakinan pasaran dalam kalangan pelabur.
Menerima pakai pelaburan patuh Syariah di Malaysia bermakna menjadi sebahagian daripada sistem kewangan yang dikawal dengan baik, progresif dan berasaskan etika. Bagi pelabur yang bijak, hal ini bukan sahaja menawarkan peluang untuk pertumbuhan kewangan tetapi juga memenuhi sumbangan terhadap paradigma ekonomi yang mengambil kira kejayaan kewangan sejajar dengan tanggungjawab etika.
* Sesetengah produk dan perkhidmatan kewangan mungkin tidak diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Sila lakukan penyelidikan dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan kewangan
Rujukan
Financial Islam. (n.d.). Prohibition of Riba, Maysir and Gharar. Financial Islam - Islamic Finance. http:///www.financialislam.com/prohibition-of-riba-maysir-and-gharar.html
Ganti, A. (2022, May 13). Sukuk Definition. Investopedia. https:/www.investopedia.com/terms/s/sukuk.asp
Institute of Islamic Banking and Insurance. (n.d.). Mudarabah | islamic-banking.com. Islamic-Banking.com.https://www.islamic-banking.com/explore/islamic-finance/shariah-rulings/question-answers-shariah-rulings/mudarabah
Young, J. (2020, October 28). Murabaha: Definition, Example, and Financing Under Islamic Law. Investopedia. https://www.investopedia.com/terms/m/murabaha.asp