Laporan kredit boleh dianggap sebagai kad laporan tentang bagaimana anda menguruskan kewangan anda. Ia merupakan satu dokumen neutral yang mengandungi maklumat tentang baik buruk amalan kewangan anda . Laporan kredit akan menyenaraikan maklumat seperti markah kredit anda, butiran pengesahan identiti, pegangan jawatan pengarah dan kepentingan dalam perniagaan, rekod alamat, sejarah pembayaran perbankan (ringkasan dan butiran CCRIS), pengeluaran cek tendang, kes undang-undang dan lain-lain.
Anda akan dapat melihat butiran tentang setiap pinjaman dan kemudahan kredit yang anda ambil, berapa baki bayaran belum jelas untuk setiap akaun, dan sebarang pembayaran yang tidak dilunaskan. Jadi, laporan kredit memang berguna untuk memantau kesihatan kredit anda. Dengan cara ini, anda akan dapat mengenalpasti dengan cepat perkara yang perlu anda perbaiki dan kesilapan yang anda lakukan.
Ia juga boleh melihat kemungkinan sama ada anda merupakan mangsa pencurian identiti. Sebagai contoh, anda mungkin mendapati ada butiran tentang permohonan kredit yang tak pernah anda buat atau terdapat maklumat yang salah tentang diri anda. Butiran begini boleh menjadi tanda amaran bahawa maklumat peribadi anda mungkin telah jatuh ke tangan yang salah. Dalam hal seperti ini, siasatan lanjut perlu dilakukan.
Siapa yang mengeluarkan laporan ini dan bagaimana mereka memperoleh maklumat tentang saya?
CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) ialah sebuah badan yang telah diwujudkan oleh BNM. Ia mengumpulkan maklumat kredit mengenai individu, kemudian memasukkan maklumat tersebut ke dalam laporan kredit. Agensi pelaporan kredit seperti CTOS kemudiannya mengeluarkan laporan kredit berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada CCRIS.Institusi kewangan seperti bank, syarikat insurans, pembekal kad kredit, syarikat pemajakan, malah PTPTN akan menyerahkan data berkaitan kredit kepada CCRISCCRIS akan menyimpan data ini dan mengeluarkan laporan kredit. Agensi pelaporan kredit boleh mendapat akses kepada maklumat CCRIS ini (dengan kebenaran daripada pelanggan yang ingin membeli laporan kredit) untuk mengeluarkan laporan kredit dan markah kredit pelanggan itu sendiri.
Sesetengah agensi pelaporan kredit turut mengumpul maklumat daripada sumber awam yang lain termasuk: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pendaftar Pertubuhan, penerbitan tindakan undang-undang dan notis dalam akhbar serta warta kerajaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Insolvensi Malaysia, dan Rujukan Perdagangan yang mengandungi maklumat berkenaan sejarah pembayaran lampau antara sesebuah syarikat dan seseorang pelanggan (contohnya langganan telefon mudah alih anda) .
Anda boleh lihat senarai lengkap institusi kewangan yang menghantar data kredit kepada CCRIS di sini:
http://creditbureau.bnm.gov.my/CIfinancial.html