Bagaimana anda melabur untuk persaraan anda bergantung kepada usia anda. Semakin hampir anda kepada usia persaraan, risiko yang diambil untuk pelaburan anda sepatutnya lebih rendah. Ini kerana jika pelaburan anda tidak menjadi, anda tak akan ada banyak masa lagi sebelum bersara untuk membina semula dana persaraan anda.
Pilihan 1: KWSP
Caruman wajib KWSP patut dianggap sebagai jumlah paling minimum yang anda perlu letak tepi untuk persaraan anda. Seperti yang kita tahu, hanya 18% rakyat Malaysia yang memiliki akaun KWSP akan mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan mereka.
Sementara itu, jika anda ingin mencarum lebih banyak wang setiap bulan untuk tujuan simpanan persaraan, langkah mudah yang boleh anda ambil adalah menaikkan kadar caruman anda atau masukkan lebih banyak wang ke dalam simpanan KWSP anda secara sukarela.
Ingat, KWSP merupakan tempat yang selamat untuk melabur wang anda dan ia menjamin pulangan sebanyak 2.5% (untuk pemegang akaun konvensional). Malah, sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu, KWSP telah memberi pulangan sekitar 6% setiap tahun.
Pilihan 2: Skim Persaraan Swasta (PRS)
PRS adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang secara sukarela yang membolehkan orang ramai membina dana persaraan mereka. Tapi, jangan salah anggap bahawa PRS boleh menjadi pengganti skim KWSP. PRS tidak memberi jaminan modal (jadi, jumlah wang pokok tidak dilindungi daripada risiko kerugian) dan PRS juga tidak memberi jaminan yang sama dari segi kadar dividen seperti simpanan KWSP konvensional anda.
PRS, seperti KWSP, mengenakan sekatan ke atas jumlah wang yang anda boleh keluarkan. Sama seperti KWSP, caruman PRS juga terbahagi 70:30 kepada dua sub-akaun: Sub-Akaun A dan Sub-Akaun B. Hanya apabila anda mencapai usia persaraan 55 tahun, atau sekiranya berlaku kematian atau penghijrahan ke luar negara (emigrasi), barulah akses penuh kepada simpanan PRS anda akan diberikan. Sebelum anda bersara, pengeluaran wang hanya boleh dibuat daripada Sub-Akaun B, dan anda akan dikenakan penalti cukai sebanyak 8%.
Jenis-jenis Dana PRS
Ada dua cara untuk memilih bagaimana wang simpanan anda akan dilaburkan dalam PRS. Anda boleh ikut opsyen asal yang mana penyedia PRS anda akan memilih satu dana pelaburan asas untuk anda berdasarkan usia anda.
Sumber: https://www.ppa.my/prs-and-you/structure-of-prs/
Atau anda boleh pilih sendiri dana yang anda suka untuk melaburkan wang simpanan anda.
Pulangan
Berikut disenaraikan pulangan bagi 20 dana PRS yang paling baik prestasinya dalam tempoh 5 tahun. Klik di siniuntuk melihat prestasi dana yang lain.
Sumber: Morningstar, diambil pada 22 Oktober 2019
Fi
FiPRS juga ada struktur bayaran yang agak serupa dengan dana unit amanah, seperti fi jualan, fi pengurusan, dan fi pemindahan. Sesetengah penyedia PRS mengenakan fi jualan sehingga 3.00% dan fi pengurusan tahunan sehingga 1.80% dalam kes-kes tertentu, serta fi pemindahan tambahan jika anda bertukar kepada penyedia yang lain. Ingat, fi akan memakan pulangan anda!
Pelepasan cukai
Sumbangan kepada PRS akan melayakkan anda menikmati pelepasan cukai sehingga RM3,000
(https://www.ppa.my/prs-tax-relief/).
Majikan juga ada pilihan untuk membuat caruman PRS bagi pihak pekerja mereka atau mencarum kadar yang sama dengan kadar caruman pekerja. Serupa dengan penjimatan cukai yang diberi kepada pekerja, majikan yang berbuat demikian juga layak mendapat potongan cukai tertentu.
Perbandingan dengan pelaburan lain
Perbandingan dengan KWSP
PRS tak menawarkan pulangan yang dijamin, jadi anda mengambil risiko yang lebih tinggi apabila melabur dalam PRS berbanding dengan KWSP. Seperti yang dikatakan tadi, PRS harus berperanan sebagai pelengkap kepada simpanan KWSP anda, bukan sebagai pengganti untuknya.
Perbandingan dengan Unit Amanah
Kelebihan utama PRS berbanding dengan unit amanah adalah anda boleh memilih untuk mengambil pendekatan kurang ambil tahu (“hands-off”) terhadap pelaburan anda. Dana PRS mempunyai pilihan tersedia (“default option”) yang membolehkan pengurus dana menyesuaikan tahap risiko pelaburan anda secara automatik supaya ia menjadi semakin konservatif semakin usia anda meningkat.
Pilihan 3: Pelaburan lain
Anda juga boleh pertimbangkan untuk melabur dalam pelaburan lain seperti unit amanah dan dana dagangan bursa (ETF) untuk mengembangkan dana persaraan anda. >Tapi ingat, untuk jenis pelaburan sebegini, modal dan pulangan anda tak dijamin.
Lebih jauh anda berada daripada usia persaraan, lebih banyak ruang untuk anda membuat pelaburan yang lebih berisiko kerana anda masih mampu menanggung risiko tersebut (kalau pelaburan anda tidak menjadi, anda masih ada banyak tahun bekerja untuk menggantikan kerugian tersebut), dan masa ini boleh anda gunakan untuk memecut pertumbuhan dana persaraan anda.