Anda kena ambil tahu perkara yang dilindungi di bawah polisi anda,semua terma dan syaratnya, serta kos perlindungan insurans itu. Ada beberapa perkara penting yang anda perlu periksa apabila memilih polisi insurans:
Pengecualian
Ini merujuk kepada senarai masalah perubatan yang tidak dilindungi oleh polisi anda. Seelok-eloknya anda meneliti kontrak polisi untuk menyemak senarai penuh pengecualian dan perincian berkenaan setiap pengecualian. Beberapa pengecualian yang biasa kita lihat termasuk:
- Masalah perubatan sedia ada
Ini merupakan keadaan kesihatan dan penyakit yang sudah anda alami sebelum membuat permohonan untuk polisi ini. Kebanyakan syarikat insurans tidak akan memberi perlindungan terhadap masalah perubatan dan penyakit tersebut.
- Penyakit-penyakit tertentu yang dikenal pasti
Terdapat penyakit tertentu (seperti tumor dan gastrik) yang tidak akan dilindungi jika dihidapi atau sekiranya anda dirawat untuk penyakit-penyakit ini pada peringkat awal polisi anda. Tempoh yang ditetapkan bergantung kepada polisi anda.
- Tempoh kelayakan/menunggu
Secara am, anda belum layak untuk membuat sebarang tuntutan dalam tempoh masa yang tertentu (contohnya, tiga bulan pertama) selepas anda membeli polisi insurans anda. Jangka masa tersebut bergantung kepada polisi anda.
Had Perlindungan
Ini merujuk kepada jumlah maksimum yang boleh dituntut daripada syarikat insurans.
Had seumur hidup merujuk kepada had perlindungan yang diberikan oleh polisi anda untuk keseluruhan hayat anda. Apabila had seumur hidup telah habis digunakan, kos perubatan yang selanjutnya tidak akan ditanggung lagi oleh syarikat insurans.
Sementara itu, had tahunan pula merujuk kepada jumlah yang anda boleh tuntut daripada polisi anda dalam tempoh setahun. Jika dalam setahun, ada perbelanjaan yang melebihi had tahunan ini, anda perlu tanggung kos itu sendiri. Berbeza dengan had seumur hidup, jumlah yang anda tuntut dalam tempoh satu tahun tidak akan menjejaskan had untuk tahun berikutnya.
Pembaharuan polisi anda
Terdapat polisi insurans dengan pembaharuan yang terjamin dan pembaharuan yang tidak terjamin. Untuk polisi pembaharuan yang tidak terjamin, syarikat insurans boleh menolak permohonan pembaharuan polisi anda (biasanya keputusan ini dibuat oleh syarikat insurans berdasarkan sejarah perubatan dan rekod tuntutan anda). Bergantung kepada sejarah perubatan anda pada masa itu, mungkin susah untuk anda membeli polisi yang baru kerana anda sudah mempunyai masalah perubatan sedia ada.
Bagi polisi dengan jaminan pembaharuan pula, syarikat insurans mungkin membuat keputusan untuk membenarkan anda memperbaharui polisi tapi dengan bayaran premium yang lebih tinggi. Namun, syarikat insurans perlulah memberi penjelasan tentang sebarang kenaikan premium atau keputusan mereka untuk tidak membenarkan anda memperbaharui polisi anda.