Sumber: BURSA ACADEMY | Diterbitkan: Jun 2020
Satu Tawaran Awam Awal (IPO) adalah percubaan pertama sebuah syarikat swasta untuk ‘menjadi awam'. Proses sebenar melibatkan sebuah syarikat yang tidak tersenarai menawarkan saham baharu atau sedia ada yang boleh dibeli atau dijual oleh orang ramai, termasuk para pemegang saham sedia ada.
Sebelum IPO, sebuah syarikat bersifat persendirian, dengan pemegang saham yang lebih sedikit, biasanya terdiri daripada pelabur bertauliah (seperti pemodal teroka, pelabur ‘angel’ dan individu bernilai tinggi) dan pelabur awal (seperti mereka yang menubuhkan perniagaan, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka). Selepas IPO, syarikat tersebut menjadi sebuah syarikat awam yang disenaraikan di bursa saham yang dikawal selia.
IPO adalah satu kejayaan besar dalam sepanjang hayat sesebuah syarikat. Sebab yang paling umum untuk penyenaraian awam adalah bagi mengumpulkan lebih banyak modal untuk mengembangkan atau meningkatkan perniagaan syarikat. Syarikat kadang-kadang menjadi awam bagi membolehkan pemegang saham sedia ada menjana keuntungan daripada pelaburan mereka, untuk memberi ganjaran kepada pekerjanya dengan menawarkan ekuiti atau semata-mata untuk mewujudkan penampilan nama, profil dan kredibiliti.
Oleh itu, sekiranya anda berminat dengan IPO, bagaimana anda boleh memohon IPO?
Minat dalam IPO
Sama ada anda seorang pelabur berpengalaman atau pelabur baharu, anda mungkin pernah mendengar ‘IPO’ dan ‘pulangan yang baik’ yang disebut bersama-sama lebih daripada beberapa kali. Ini tidak menghairankan kerana, apabila sebuah syarikat swasta menjanjikan penyenaraian awam, peluang untuk mendapatkan keuntungan daripada membeli saham IPO memang tinggi. Sekiranya prospek pertumbuhan syarikat dilihat baik oleh masyarakat pelaburan, saham awam pertama berkemungkinan besar mendapat permintaan yang tinggi, lebih-lebih lagi kerana IPO biasanya didiskaunkan untuk memastikan penjualan awal. Oleh itu, ianya bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi nilai saham IPO meningkat dengan cepat apabila tersedia di pasaran saham. Ini menjadikan saham IPO sebagai ‘harta panas’ dan menyebabkan minat pelabur terhadap IPO kekal tinggi.
Sebab lain untuk minat yang tinggi dalam IPO adalah keyakinan pelabur terhadap pihak berkuasa, termasuk pengawal selia pasaran. Garis panduan dan proses penilaian yang ketat yang perlu dilalui sebelum penyenaraian awam meyakinkan pelabur bahawa IPO adalah peluang pelaburan yang boleh dipercayai.
Syarikat-syarikat yang membuat keputusan untuk disenarai awam perlu melalui proses saringan yang ketat dengan mengemukakan dokumentasi kompleks kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melalui bank penerbit. Selanjutnya, prospektus syarikat — yang menetapkan secara terperinci profil syarikat, perniagaan teras, pengurusan, kedudukan kewangan, strategi korporat, jumlah saham dan harga saham, ramalan dividen, risiko, dll — perlu mendapat kelulusan di beberapa tahap pemeriksaan pihak berkuasa yang ketat.
Walaupun syarat-syarat penyenaraian begitu rumit, semakin banyak syarikat yang mengambil keputusan untuk disenarai awam. Carta di bawah menunjukkan bahawa kedua-dua jumlah dagangan dan jumlah Syarikat Tersenarai Awam semakin meningkat.
Memohon IPO
Bagi pelabur awam, terdapat tiga cara untuk memohon IPO – dua cara tradisional dan satu cara dalam talian. Walau bagaimanapun, sebelum memohon, adalah penting untuk benar-benar mengkaji IPO dengan membaca prospektus syarikat. Sebilangan besar maklumat yang boleh dipercayai juga boleh didapati dengan menggunakan sumber seperti surat khabar arus perdana dan laman web Bursa Malaysia. Seorang pelabur yang bermaklumat adalah lebih cenderung untuk berjaya berbanding pelabur yang melulu.
Perkara awal yang perlu diperhatikan ialah, di bawah undang-undang, anda hanya boleh membuat satu permohonan saham untuk IPO. Mengemukakan beberapa permohonan adalah satu kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, 2007.
- Memohon Menggunakan Borang Permohonan (Putih)
Cara tradisional untuk memohon IPO adalah melalui borang bercetak yang dikenali sebagai Borang Permohonan Putih. Borang kertas ini mudah didapati di gedung terbitan, syarikat broker saham dan institusi kewangan.
Permohonan tersebut mempunyai tiga langkah penting:
- Lampirkan slip pembayaran arahan bank untuk jumlah saham yang anda pohon.
- Hantarkan permohonan anda yang lengkap terus ke gedung terbitan. Anda juga boleh menghantar borang tersebut kepada mereka melalui mel pos.
Sebuah syarikat penerbit terkemuka di mana anda boleh memohon saham IPO adalah Malaysian Issuing House (MIH). Anda boleh mengemukakan permohonan saham anda melalui surat biasa, perkhidmatan kurier atau kotak serahan di pejabat mereka.
- Memohon Menggunakan Permohonan Saham Elektronik (ESA)
Satu lagi cara untuk memohon IPO adalah menggunakan ATM untuk mengemukakan Permohonan Saham Elektronik (ESA).
Untuk menggunakan kemudahan ESA di ATM, anda hendaklah mempunyai akaun simpanan, kad ATM yang dikeluarkan oleh institusi kewangan yang mengambil bahagian, dan akaun Sistem Penyimpanan Pusat (CDS). CDS adalah sistem yang diuruskan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd. Akaun CDS adalah seperti loker digital yang menyimpan sekuriti anda dalam bentuk elektronik dan membolehkan anda mengkreditkan, mendebit atau memindahkan sekuriti dari atau ke dalamnya.
Di ATM, ikuti arahan. Anda memerlukan PIN, nombor akaun CDS dan kod saham IPO anda.
Setelah mendaftarkan permohonan anda, sila simpan slip ATM yang dicetak sebagai rekod dan rujukan anda.
- Memohon Secara Dalam Talian
Cara ketiga untuk memohon IPO adalah dengan membuat permohonan secara dalam talian.
Tidak seperti dua cara permohonan yang lain, permohonan secara dalam talian adalah satu perkembangan yang agak baharu. Memohon IPO dari keselesaan rumah anda sendiri kini semakin popular di kalangan pelabur runcit.
Pada tahun 2005, Maybank menjadi bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan dalam talian ini. Hari ini, kebanyakan bank tempatan juga menawarkan ciri-ciri yang sama. Oleh kerana prosedur dan proses adalah berbeza bagi setiap bank, adalah disyorkan supaya anda memeriksa terlebih dahulu dengan bank anda tentang cara yang betul untuk berjaya memohon IPO dan jika terdapat sebarang caj atau bayaran yang dikenakan.
Permohonan dalam talian juga memerlukan anda memenuhi kriteria kelayakan tertentu. Anda mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, seorang warganegara Malaysia yang mempunyai alamat di Malaysia. Anda juga mesti mempunyai akaun CDS dan tidak boleh menjadi pengarah atau pekerja (atau ahli keluarga terdekat pengarah atau pekerja) bagi gedung terbitan. Permohonan juga mestilah sekurang-kurangnya 100 saham IPO (atau gandaan 100).
Mengingati Objektif Anda
Sikap berhati-hati dan membuat keputusan yang bermaklumat sentiasa bermanfaat apabila menimbangkan apa-apa kaedah pelaburan dan ia tidak berbeza dengan IPO. Apa yang kelihatan menarik atau menjanjikan pulangan yang tinggi mungkin tidak selalunya benar setelah usaha wajar dilakukan dengan penuh teliti.
Sebelum anda memohon IPO, lakukan pemeriksaan anda, selidik syarikat dan sektor perniagaan di mana ia beroperasi dan analisa prospek masa depan bukan hanya untuk syarikat tetapi juga untuk keseluruhan pasaran.
Ingat, ia adalah wang anda.
Tag: EKUITI, IPO, PEMEGANGSAHAM, PENYENARAIANAWAM, SAHAMTERBITANAWAM, SYARIKATPERSENDIRIAN