Sumber: BURSA ACADEMY | Diterbitkan: Ogos 2020
Di Malaysia, kini terdapat enam penerbit waran berstruktur yang berlesen: AmBank, CIMB Bank, RHB Investment Bank, Kenanga Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Macquarie Capital Securities (Malaysia).
Adalah penting bagi para pelabur untuk berhati-hati dan melakukan banyak penyelidikan sebelum melabur dalam waran berstruktur. Sekurang-kurangnya, para pelabur perlu mengetahui tentang ciri-ciri, risiko dan faedah sebelum melabur dalam waran berstruktur:
CIRI-CIRI
Waran berstruktur adalah tidak seragam dan ini bermakna bahawa ciri-cirinya berbeza walaupun di kalangan waran yang ditawarkan oleh penerbit yang sama:
Jenis
Biasanya merujuk kepada sama ada waran berstruktur adalah waran ‘call’ atau waran ‘put’.
Aset Pendasar
Merujuk kepada aset yang menjadi pendasar waran.
Penggearan Efektif
Penggearan efektif adalah perubahan peratusan dalam harga waran berstruktur bagi perubahan sejumlah 1% pada harga aset pendasar. Sebagai contoh, sekiranya penggearan efektif waran berstruktur adalah 5, maka harga waran berstruktur akan berubah sebanyak 5% bagi setiap 1% perubahan harga aset pendasar tersebut.
Nisbah Penukaran
Nisbah penukaran waran berstruktur menentukan berapa banyak waran yang perlu dilaksanakan untuk membeli (bagi waran ‘call’) atau menjual (bagi waran ‘put’) satu unit daripada sekuriti pendasar.
Harga Pelaksanaan
Harga pelaksanaan (atau harga ‘strike’) adalah harga di mana waran berstruktur boleh dilaksanakan.
Tarikh Luput
Hari terakhir waran boleh dilaksanakan. Sebarang waran yang tidak dilaksanakan pada tarikh luput akan menjadi tidak bernilai.
Waran boleh dilaksanakan sama ada menggunakan gaya Amerika atau Eropah. Waran gaya Eropah boleh dilaksanakan hanya pada tarikh luput. Waran gaya Amerika boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sehingga tarikh luput.
Penyelesaian
Waran boleh diselesaikan melalui penghantaran fizikal atau dalam betuk wang tunai. Dalam penghantaran fizikal, pemindahan sebenar aset atau aset-aset pendasar mengambil tempat manakala untuk penyelesaian tunai, hanya tunai yang setara dengan keuntungan dari pemegang waran akan dipindahkan kepada pemegang waran.
KELEBIHAN
Kerugian Terhad dan Tiada Panggilan Margin
Tidak seperti kebanyakan produk leveraj lain seperti niaga hadapan, kerugian dalam waran berstruktur adalah terhad kepada modal awal yang dilaburkan oleh pelabur.
Pelabur yang membeli waran berstruktur juga tidak diperlukan untuk membuat penambahan nilai tunai (dikenali sebagai panggilan margin) sekiranya harga waran berstruktur bergerak pada arah yang bertentangan dengan kehendak pelabur.
Kecairan
Entiti yang mengeluarkan waran berstruktur juga bertindak sebagai pembuat pasaran untuk waran yang ia keluarkan pada waktu dagangan (Sesetengah penerbit memilih untuk menetapkan entiti lain untuk menjadi pembuat pasaran bagi pihak mereka). Ini mewujudkan kedalaman pasaran dan membolehkan para pelabur untuk memasuki dan keluar dari pasaran dengan mudah.
Pembuat pasaran menyediakan kecairan bagi waran berstruktur dengan terus menghantar bida-tawar sebut harga di bursa supaya waran boleh didagangkan pada kebanyakan masa.
Kesan Leveraj
Berdagang dalam waran berstruktur memberi kelebihan tambahan dengan adanya leveraj. Perubahan peratusan kecil dalam harga aset pendasar boleh menberikan kenaikan yang besar dalam harga waran berstruktur.
Walau bagaimanapun, ia juga boleh menyebabkan kerugian yang besar (dalam beberapa kes hampir melenyapkan keseluruhan pelaburan) dalam harga waran berstruktur. Seorang pelabur perlu sentiasa ingat bahawa menggunakan leveraj boleh berfungsi dengan dua cara; ia boleh meningkatkan keuntungan atau kerugian anda.
RISIKO
Peningkatan Kerugian Disebabkan oleh Leveraj
Seperti yang dinyatakan, waran berstruktur boleh meningkatkan kerugian anda sekiranya pasaran bergerak pada arah yang bertentangan. Walau bagaimanapun, kerugian anda adalah terhad kepada harga yang anda bayar untuk waran berstruktur tersebut.
Kemerosotan Masa
Dengan andaian yang semuanya masih sama, nilai waran akan menurun dengan setiap hari yang berlalu. Penurunan nilai waran ini dikenali sebagai kemerosotan masa. Walaupun begitu, seringkali penurunan yang disebabkan oleh kemerosotan masa adalah agak kecil jika dibandingkan dengan faktor-faktor lain yang juga mempengaruhi harga waran seperti volum pasaran dan harga aset pendasar.
Waran berstruktur adalah lebih sesuai untuk dagangan jangka pendek berbanding pemilikan jangka panjang disebabkan oleh faktor kemerosotan masa.
Sekali lagi, pelabur hendaklah sentiasa mengambil perhatian bahawa waran yang tidak dilaksanakan menjelang tamat tempoh akan menjadi tidak bernilai.
Risiko Kecairan
Walaupun pembuat pasaran waran berstruktur berkewajipan selalunya untuk menyediakan kecairan waran, kadangkala, ia merupakan satu cabaran bagi mereka untuk mendapatkan harga yang berpatutan untuk menjual waran anda.
Risiko kecairan seperti ini mungkin berlaku kerana pesanan membeli yang tidak mencukupi untuk waran berstruktur di pasaran, yang akhirnya mempengaruhi harga pasaran waran tersebut. Inilah sebabnya mengapa pelabur yang ingin memperdagangkan waran berstruktur mereka hendaklah memantau pasaran untuk volum dan harga bidaan / tawaran.
PERDAGANGAN WARAN
Waran Berstruktur merupakan alat yang versatil dan berkos rendah untuk dagangan jangka pendek. Seseorang boleh membeli waran ‘call’ untuk mendapatkan kedudukan leveraj dengan cepat pada beberapa saham atau aset yang mendapat permintaan yang tinggi. Seseorang juga boleh memperoleh keuntungan daripada kejatuhan harga dengan membeli waran ‘put’. Oleh yang demikian, akan sentiasa terdapat peluang untuk membuat keuntungan pelaburan dalam pasaran waran berstruktur, tanpa mengira trend pasaran. Memperdagangkan waran juga adalah semudah memperdagangkan saham. Pelabur boleh membeli atau menjual waran yang sama berulang kali.
Akhir sekali, pelabur perlu sentiasa prihatin terhadap risiko yang terlibat apabila memperdagangkan waran dan berusaha untuk memahami waran berstruktur dengan lebih baik sebelum memasuki pasaran. Bagi mereka yang telah menguasai dagangan waran berstruktur, ia dapat memberikan ganjaran serta sesuatu yang amat menarik.
Tag: PERDANGANGAN SAHAM, PERTUKARAN SAHAM, TURUN NAIK PASARAN, WARAN BERSTRUKTUR